Dalam ruang pembacaan yang sederhana ini, saya ingin mengupas satu catatan kecil daripada sebuah karya besar yang tidak pernah lekang daripada wacana tamadun dunia, iaitu Muqaddimah hasil nukilan Ibn Khaldun. Ketertarikan saya terhadap karya ini bermula beberapa tahun lalu apabila saya terbaca bahawa tokoh teknologi global seperti Mark Zuckerberg menyenaraikan buku ini sebagai antara bacaan penting dalam memahami manusia, masyarakat dan masa depan peradaban.
Dari situ, saya mula membuka lembaran Muqaddimah sebagai seorang pembaca yang cuba memahami isyarat-isyarat halus tentang bagaimana manusia membina dan meruntuhkan tamadun mereka sendiri. Apa yang saya dapati, walaupun sangat terbatas pemahaman saya, Ibn Khaldun sebenarnya tidak sekadar menulis sejarah dalam bentuk naratif peristiwa, tetapi membina satu “theory of civilization” yang bersifat dinamik dan berlapis.
Bagi yang belum mengenali tokoh ini, Ibn Khaldun ialah seorang sarjana agung Islam yang lahir pada tahun 1332 di Tunis, dalam wilayah Maghribi (North Africa) pada zaman peralihan dunia Islam yang sarat dengan pergolakan politik dan perubahan kuasa.
Nama penuhnya Abd al-Rahman Ibn Khaldun, beliau membesar dalam suasana intelektual Andalus dan Afrika Utara yang ketika itu menjadi pusat ilmu, pentadbiran dan pertembungan tamadun Islam-Eropah.
Sejak usia muda, beliau telah mendalami pelbagai disiplin ilmu termasuk syariah, falsafah, logik, sejarah dan pentadbiran, sebelum melibatkan diri dalam dunia politik dan diplomasi yang memberikannya pengalaman langsung tentang jatuh bangun kuasa kerajaan-kerajaan kecil di zamannya.
Pengalaman empirikal inilah yang kemudiannya membentuk kerangka pemikirannya yang unik, berbeza daripada sarjana sejarah yang hanya bergantung kepada catatan, kerana beliau sendiri hidup dalam gelanggang kuasa dan intrik politik.
Pada usia sekitar pertengahan 40-an, ketika beliau berada dalam fasa kematangan intelektual dan pengalaman hidup yang luas, Ibn Khaldun menulis karya agungnya Muqaddimah, iaitu sebuah pengenalan kepada sejarah universal yang sebenarnya berkembang menjadi satu disiplin ilmu tersendiri dalam memahami masyarakat dan tamadun.
Dalam karya ini, beliau memperkenalkan konsep-konsep besar seperti “asabiyyah” (solidariti sosial), kitaran naik turun tamadun, serta analisis mendalam tentang bagaimana struktur sosial, ekonomi dan politik saling mempengaruhi dalam membentuk nasib sesebuah negara.
Keunikan beliau terletak pada keupayaan menggabungkan pemerhatian sejarah, analisis sosial dan intuisi falsafah dalam satu kerangka yang boleh dianggap sebagai asas awal kepada sosiologi moden dan teori ketamadunan, jauh mendahului zamannya berabad-abad sebelum disiplin moden itu wujud secara formal.
Beliau membedah manusia bukan sebagai individu terasing, tetapi sebagai entiti kolektif yang hidup dalam kelompok, dipacu oleh ikatan sosial, solidariti dalaman dan struktur kuasa yang sentiasa berubah. Daripada keseluruhan gagasan yang beliau bentangkan, saya tertarik untuk mengupas satu aspek kecil tetapi sangat fundamental, iaitu bagaimana kelompok manusia menjadi asas kepada pembentukan dan keruntuhan tamadun.
Dalam kerangka geopolitik moden, apa yang Ibn Khaldun sebut sebagai “asabiyyah” boleh difahami sebagai tenaga dalaman yang menyatukan masyarakat sehingga membentuk kekuatan negara. Ini bukan sekadar emosi kebersamaan, tetapi satu bentuk “civilizational glue” yang menentukan daya tahan sesuatu bangsa apabila berhadapan dengan cabaran sejarah.
Apabila tenaga ini kuat, sesuatu kelompok mampu membina institusi, memperluas pengaruh dan menstrukturkan kuasa. Apabila keadaan ini lemah, struktur yang sama akan mula mengalami hakisan dari dalam sebelum runtuh secara perlahan tetapi pasti.
Dalam konteks dunia hari ini, teori dan pandangan Ibnu Khaldun menjadi semakin relevan apabila kita melihat bagaimana negara-negara moden berdepan dengan cabaran fragmentasi sosial, polarisasi politik dan perpecahan identiti. Malaysia sebagai sebuah negara yang kompleks dari segi etnik, budaya dan sejarah, berada dalam posisi yang unik. Ini bukan sekadar sebuah entiti politik, tetapi sebuah “living laboratory” kepada bagaimana kepelbagaian boleh diurus sebagai kekuatan atau sebaliknya menjadi garis retak kepada kestabilan nasional.
Daripada pembacaan kecil saya yang sangat terbatas ini, saya melihat bahawa Ibn Khaldun sebenarnya sedang memberikan amaran intelektual yang melangkaui zamannya. Beliau seolah-olah sedang mengatakan bahawa tamadun tidak runtuh secara tiba-tiba, tetapi melalui proses perlahan apabila ikatan kelompok mula longgar, apabila kepercayaan sosial mula terhakis, dan apabila kepentingan individu mengatasi kepentingan kolektif. Dalam bahasa seorang pengkaji tamadun, ini adalah proses “civilizational entropy”, iaitu kehilangan tenaga dalaman yang menyatukan sistem sosial.
Apabila idea ini dibawa ke dalam konteks Malaysia, pasti dapat membuka ruang refleksi yang sangat besar tentang bagaimana kita membina masa depan negara. Pembangunan tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi sebagai proses memperkukuh “national cohesion architecture” yang menyatukan rakyat dalam satu naratif yang lebih besar daripada perbezaan mereka. Negara yang gagal mengurus dimensi ini akan sentiasa berada dalam keadaan rapuh walaupun kelihatan stabil di permukaan.
Maka, apa yang boleh kita pelajari daripada Ibn Khaldun bukan sekadar teori sejarah, tetapi satu kerangka tindakan. Beliau menekankan bahawa pembangunan negara memerlukan keseimbangan antara kekuatan institusi, kepercayaan sosial dan identiti kolektif.
Juga menerangkan tentang kepimpinan bukan sekadar mengurus dasar, tetapi mengurus psikologi massa dan dinamika kelompok manusia. Dan bahawa tamadun, dalam apa jua bentuknya, sentiasa berdiri di atas asas yang paling asas tetapi paling kritikal: bagaimana manusia memilih untuk hidup bersama sebagai satu kelompok yang bermakna.
Dalam kefahaman saya yang sangat terbatas selepas menelusuri sebahagian kecil daripada Muqaddimah, Ibn Khaldun mengungkap konsep yang sering diterjemahkan sebagai “asabiyyah”, iaitu solidariti sosial atau ikatan kebersamaan dalam sesuatu kelompok manusia. Asabiyyah ini bukan sekadar ikatan emosi, tetapi satu tenaga kolektif yang menjadi asas kepada kekuatan sesuatu masyarakat. Apabila asabiyyah itu kuat, kelompok manusia menjadi kukuh, berani membina kuasa, membuka wilayah dan membentuk struktur pemerintahan. Apabila ia lemah, kelompok itu mula rapuh, mudah terpecah dan akhirnya digantikan oleh kelompok lain yang lebih kuat ikatannya.
Jika diperhatikan dalam realiti moden hari ini, idea yang ditulis beratus tahun dahulu ini masih hidup dalam bentuk yang berbeza. Kelompok manusia masih bergerak dalam bentuk “collective identity”, sama ada dalam organisasi, syarikat, parti politik, komuniti bandar, malah dalam dunia digital.
Kita melihat bagaimana sesebuah organisasi yang mempunyai budaya kerja yang kuat, nilai bersama yang jelas dan visi yang dikongsi akan berkembang lebih stabil berbanding organisasi yang hanya bergantung kepada individu-individu berbakat tetapi tidak mempunyai ikatan dalaman. Di sinilah kelihatan bayang pemikiran Ibn Khaldun masih relevan, seolah-olah beliau sedang menulis tentang dunia moden yang kita sedang diami hari ini.
Dalam konteks pembangunan komuniti dan negeri, konsep kelompok manusia ini memberi isyarat yang sangat besar. Sesebuah negeri tidak hanya dibangunkan oleh sumber ekonomi atau infrastruktur fizikal semata-mata, tetapi oleh kekuatan “social cohesion” dalam kalangan rakyatnya. Apabila masyarakat mempunyai rasa kepunyaan yang tinggi terhadap negeri, apabila mereka merasakan bahawa kejayaan negeri adalah kejayaan bersama, maka tenaga kolektif itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mampan. Sebaliknya, apabila masyarakat terpecah kepada kelompok kecil yang bersaing secara tidak sihat, tenaga pembangunan menjadi tersebar dan tidak fokus.
Dalam skala negara pula, idea ini menjadi lebih kritikal. Negara yang berjaya bukan hanya negara yang kaya sumber, tetapi negara yang berjaya menyatukan pelbagai kelompok etnik, budaya, kelas sosial dan pemikiran dalam satu naratif kebangsaan yang lebih besar.
Ibn Khaldun memberi gambaran bahawa peradaban tidak statik dan bergerak dalam kitaran “rise and fall”, serta salah satu faktor utama yang menentukan kitaran ini ialah kekuatan atau kelemahan ikatan kelompok. Apabila nilai bersama mula terhakis, apabila kepercayaan antara kelompok mula pudar, maka struktur besar sesebuah tamadun akan mula menunjukkan tanda-tanda keletihan dari dalam.
Dalam membaca Ibn Khaldun melalui Muqaddimah, kita sebenarnya tidak sekadar menyelami teks sejarah, tetapi memasuki satu kerangka “statecraft” yang membedah nadi kepada pembinaan dan keruntuhan tamadun. Beliau tidak melihat negara sebagai entiti statik, tetapi sebagai organisme hidup yang dipacu oleh tenaga sosial, kekuatan solidariti kolektif, dan disiplin nilai yang disebut sebagai “asabiyyah”. Dalam bahasa geopolitik moden, asabiyyah ini boleh difahami sebagai “national cohesion force”, iaitu daya penyatu yang menentukan sama ada sesebuah negara itu menjadi stabil, berdaya tahan atau sebaliknya rapuh di tengah gelombang perubahan global.
Jika ditafsir dalam konteks Malaysia, pengajaran utama daripada Ibn Khaldun ialah bahawa kekuatan negara tidak hanya terletak pada institusi formal seperti kerajaan, undang-undang dan ekonomi, tetapi pada kualiti hubungan antara rakyat yang membentuk satu kesatuan psikologi kebangsaan. Negara yang kuat ialah negara yang berjaya menstrukturkan kepelbagaian sebagai aset strategik, bukan sebagai garis pemisah. Dalam bahasa seorang ahli geopolitik, ini adalah soal “internal stability architecture” yang menjadi asas kepada “external competitiveness”.
Apa yang boleh kita pelajari secara fundamental ialah bahawa negara yang gagal mengurus kelompok sosialnya akan mengalami fenomena “fragmentation of trust”, iaitu perpecahan kepercayaan antara komuniti. Ibn Khaldun telah lama mengisyaratkan bahawa apabila ikatan kelompok menjadi lemah, institusi politik akan kehilangan legitimasi secara perlahan walaupun secara zahirnya masih berdiri. Ini boleh kita lihat dalam realiti moden apabila masyarakat mula terasing dalam “echo chambers”, sama ada melalui media sosial, ekonomi, pendidikan atau identiti politik.
Untuk konteks Malaysia, penerapan pemikiran ini memerlukan beberapa tindakan strategik yang bersifat “state-building measures”.
Pertama ialah pengukuhan naratif kebangsaan yang bersifat inklusif dan transcend semua kelompok etnik serta kelas sosial. Naratif ini bukan sekadar slogan, tetapi mesti diterjemahkan dalam dasar pendidikan, media dan pembangunan wilayah. Dalam bahasa Ibn Khaldun, ini adalah usaha membina semula “collective consciousness” yang menjadi asas kepada asabiyyah moden.
Kedua ialah pembinaan “institutional trust framework”, iaitu sistem yang memastikan setiap institusi negara berfungsi dengan tahap integriti yang tinggi dan konsisten. Kepercayaan institusi adalah komponen kritikal dalam kestabilan negara moden. Apabila rakyat percaya kepada sistem, mereka akan menyumbang secara sukarela kepada pembangunan; apabila kepercayaan itu runtuh, negara terpaksa bergantung kepada penguatkuasaan yang semakin mahal dan tidak berkesan dalam jangka panjang.
Ketiga ialah pengurusan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keseimbangan sosial. Ibn Khaldun memberi isyarat bahawa ketidakseimbangan antara pusat kuasa dan pinggiran sosial akan melahirkan ketegangan dalaman. Dalam konteks Malaysia, ini bermaksud pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada bandar besar, tetapi mesti meliputi wilayah luar bandar secara strategik supaya tiada kelompok merasa terpinggir daripada arus kemajuan negara.
Keempat ialah pembangunan “leadership ecosystem” yang memahami psikologi kelompok manusia. Kepimpinan dalam kerangka Khaldunian bukan sekadar pengurusan pentadbiran, tetapi seni membaca dinamika sosial, mengurus emosi kolektif dan mengekalkan keseimbangan antara autoriti dan keadilan. Negara yang gagal melahirkan pemimpin dengan keupayaan ini akan menghadapi krisis legitimasi walaupun ekonominya berkembang.
Kelima ialah pengukuhan identiti nasional dalam era globalisasi yang bersifat “hyper-connected”. Dunia hari ini mempercepatkan pembentukan kelompok-kelompok mikro yang berasaskan ideologi, ekonomi digital dan budaya global. Tanpa satu “overarching national identity”, masyarakat akan terpecah kepada sub-kelompok yang tidak lagi berinteraksi secara organik. Ibn Khaldun mungkin akan melihat fenomena ini sebagai bentuk moden kepada perpecahan asabiyyah yang lebih kompleks.
Daripada perspektif seorang pemikir negara, semua ini membawa kepada satu kesimpulan strategik bahawa pembinaan tamadun Malaysia bukan hanya projek ekonomi atau politik, tetapi projek pembinaan jiwa kolektif. Negara yang ingin kekal relevan dalam persaingan geopolitik global perlu memahami bahawa kekuatan sebenar bukan hanya pada “hard power” seperti ekonomi dan ketenteraan, tetapi juga pada “soft cohesion power” iaitu kekuatan dalaman masyarakatnya.
Jika saya membawa kerangka Ibn Khaldun ke dalam pemerhatian saya terhadap landskap Malaysia hari ini, saya melihat satu pola yang agak konsisten dengan apa yang beliau huraikan berabad-abad dahulu dalam Muqaddimah, iaitu fenomena perpecahan kelompok yang bergerak dalam bentuk baharu melalui medan politik moden.
Sedang saya membuat perbandingan dan membaca realiti semasa, saya dapati bahawa perpecahan parti politik, perebutan naratif, serta pengukuhan blok-blok ideologi yang semakin tegar ini boleh dibaca sebagai tanda kepada perubahan dalam “social cohesion” atau apa yang Ibn Khaldun istilahkan sebagai “asabiyyah”, iaitu tenaga pengikat yang menyatukan sesuatu kelompok manusia.
Apabila tenaga ini mula berpecah kepada unit-unit kecil yang bersaing, saya melihat politik tidak lagi berfungsi semata-mata sebagai mekanisme membina negara, tetapi semakin cenderung menjadi ruang “competition” yang bersifat eksklusif dan kadangkala berisiko melemahkan kesatuan yang lebih besar.
Dalam analisa saya, Ibn Khaldun telah lama memberi isyarat bahawa tamadun tidak runtuh secara tiba-tiba, tetapi melalui proses perlahan apabila ikatan dalaman mula kehilangan kekuatan. Saya melihat perkara ini relevan apabila diterjemahkan dalam konteks Malaysia, di mana polarisasi politik jika tidak diurus dengan baik akan mengurangkan ruang kepercayaan rentas kelompok.
Dari sudut ini, saya dapat membuat pemerhatian bahawa cabaran sebenar bukan sekadar menyatukan struktur politik dalam bentuk formal, tetapi membina semula “national asabiyyah” dalam bentuk moden, iaitu rasa kebersamaan yang melangkaui parti, ideologi dan kepentingan jangka pendek. Tanpa asas ini, kita akan melihat negara akan sentiasa berada dalam keadaan reaktif, walaupun institusi kelihatan stabil di permukaan.
Sedang saya menilai keadaan ini dari perspektif geopolitik dalaman, saya membuat perbandingan bahawa negara-negara yang berjaya mengekalkan kestabilan jangka panjang biasanya memiliki “centripetal force” sosial yang kuat, iaitu daya tarikan dalaman yang menyatukan pelbagai kelompok dalam satu naratif kebangsaan yang lebih besar.
Dalam konteks Malaysia, kita melihat keperluan untuk mengembalikan keseimbangan ini melalui pengukuhan kepercayaan institusi, pembinaan semula naratif kebangsaan yang inklusif, serta pengurangan politik yang terlalu berasaskan konflik identiti.
Apa yang Ibn Khaldun ajarkan kepada kita, pada hemat saya, ialah bahawa kekuatan negara bukan hanya pada struktur kuasa, tetapi pada sejauh mana manusia di dalamnya masih merasakan bahawa mereka sedang membina satu takdir yang sama, walaupun datang dari latar yang berbeza.
Akhirnya, pembacaan saya yang sangat sederhana terhadap Ibn Khaldun ini hanya membuka satu ruang renungan bahawa tamadun tidak pernah dibina oleh kebetulan, tetapi oleh kefahaman mendalam terhadap manusia itu sendiri. Dan manusia, dalam kacamata Khaldun, sentiasa bergerak dalam kelompok, sentiasa dipacu oleh solidariti, dan sentiasa diuji oleh masa antara kekuatan dan kelemahan ikatan yang mereka bina bersama.
Perkongsian saya ini hanyalah refleksi kecil daripada seorang pembaca yang masih belajar memahami keluasan lautan ilmu Ibn Khaldun. Apa yang dikongsi ini bukanlah satu kesimpulan total, tetapi sekadar renungan yang lahir daripada kekaguman terhadap ketajaman fikir seorang sarjana silam yang masih terus berbicara dalam dunia moden.
Jika ada manfaat, pasti datang daripada Allah. Jika ada kekurangan, semua itu datang daripada keterbatasan diri saya sendiri sebagai seorang yang masih merangkak dalam memahami hikmah peradaban manusia.